BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Anda orang yang ke?

free hit counter
Download free web counter code here.

Monday, June 29, 2009

Teknik Menghafal bahagian 2

Memori jangka masa pendek adalah sesuatu yang anda ingat dalam jangka masa yang singkat. Contohnya, jika anda berkenalan dengan seorang kawan baru, setelah beliau memperkenalkan nama beliau, belum sampai beberapa jam pun anda sudah lupa nama tersebut. Sama juga seperti semasa anda belajar di dalam kelas.


Katakan cikgu anda mengajar subjek sejarah hari ini. Anda rasa anda faham apa yang cikgu anda ajarkan. Tetapi, esok atau 2 hari selepas itu, anda sudah lupa apa yang cikgu ajarkan tadi. Kadang-kadang, anda rasa macam anda tidak pernah dengar tentang apa yang diajarkan itu. Pelik bukan?


Tidak pelik sebenarnya. Itu menunjukkan bahawa apa yang anda pelajari itu cuma singgah di memori jangka masa pendek anda sahaja.

Memori jangka masa panjang pula ialah sesuatu yang anda boleh ingat dalam jangka masa yang lama. Contohnya, anda ingat nama kawan baik anda bukan? Pernahkah anda satu hari datang ke sekolah dan lupa apa nama kawan baik anda itu? Sudah tentu tidak pernah (melainkan anda menghidap penyakit lupa).


Jika anda mahu mengingat apa yang anda pelajari supaya anda boleh jawab soalan peperiksaan dengan baik, anda perlu tahu bagaimana caranya untuk memindahkan maklumat dalam memori jangka masa pendek anda ke memori jangka masa panjang. Jika selama ini anda rasa anda mudah lupa apa yang anda pelajari, ia tidak bermaksud daya ingatan anda lemah.


Ia tidak bermaksud otak anda lembab atau anda seorang yang bodoh. Ia cuma bermaksud anda belum mahir dalam teknik untuk memindahkan maklumat daripada memori jangka masa pendek ke memori jangka masa panjang. Setelah anda kuasai teknik-teknik ini nanti, anda akan rasa lebih mudah mengingat atau menghafal apa yang telah anda pelajari.

Mengapa fakta yang anda pelajari cuma singgah di memori jangka masa pendek sahaja?


Satu sebab utamanya ialah anda tidak melakukan usaha memindahkan fakta ke memori jangka masa panjang dengan sengaja. Apa yang saya ingin katakan di sini ialah, jika anda pelajari sesuatu yang baru, fakta itu tidak akan masuk ke memori jangka masa panjang dengan sendirinya. Anda perlu lakukan sesuatu dengan sengaja untuk memindahkannya. Contohnya, katakan Ustaz anda baru mengajar lima rukun Islam. Dengan sekali mendengarnya sahaja, fakta itu cuma akan berada di memori jangka masa pendek anda. Anda mungkin akan lupa kesemuanya pada keesokan harinya.


Satu cara yang anda boleh lakukan untuk memindahkannya ke memori jangka masa panjang ialah dengan membaca dengan kuat kelima-lima rukun Islam itu berulang-ulang kali. Pengulangan adalah salah satu teknik berkesan untuk memindahkan fakta ke memori jangka masa panjang.


Jadi anda perlu ingat, tanpa membaca semula apa yang anda pelajari, anda tidak akan dapat ingat dalam apa yang anda pelajari hingga ke hari peperiksaan.


Namun, berkenaan perkara ini, ada satu soalan popular yang sering diajukan kepada saya. Soalannya ialah, kenapa ada sesetengah pelajar boleh ingat dengan mudah apa yang dipelajari walaupun mereka hanya mendengar sekali sahaja?


Jawapannya ialah, cara pelajar ini mendengar tidak sama dengan cara pelajar biasa mendengar. Maksudnya, pelajar ini mempunyai teknik mereka sendiri semasa mendengar apa yang diajarkan oleh guru di depan kelas.


Contohnya, apabila mereka mendengar cikgu bercerita tentang pencemaran sungai, fikiran mereka akan aktif menukarkan apa yang mereka dengar kepada bentuk gambar. Mereka seolah-olah dapat melihat rupa sungai-sungai yang tercemar dan apa yang menyebabkannya. Seperti yang saya jelaskan minggu lepas, kita lebih mudah ingat gambar, jadi pelajar ini terus dapat mengingat apa yang diterangkan oleh guru mereka tentang pencemaran sungai tadi.

Thursday, June 25, 2009

Teknik Menghafal bahagian 1

Adakah memang sukar untuk menghafal? Mungkin…. mungkin sukar jika anda tidak tahu caranya yang betul.


Dulu, saya selalu terfikir bahawa, orang yang mudah untuk menghafal sesuatu adalah seseorang yang sangat bijak berbanding dengan orang lain. Beliau pasti mempunyai ibu bapa yang berpendidikan tinggi dan juga sudah sedia ada bijak sejak beliau dilahirkan. Jadi, saya sentiasa merasa rendah diri apabila saya membandingkan diri saya dengan seseorang yang mudah menghafal ini.


Jadi, sebagai permulaan, anda perlu tahu, manusia tidak mempunyai memori yang lemah. Mungkin selama ini anda sering menghadapi kesukaran untuk menghafal lalu anda fikir anda mempunyai memori yang lemah. Malah ada juga orang disekeliling anda yang melabelkan anda sebagai lemah ingatan. Mereka itu mungkin masih belum terdedah kepada fakta-fakta tentang kehebatan manusia ciptaan tuhan. Tetapi, kalau daya ingatan kita tidak lemah, mengapa terlalu sukar untuk kita menghafal sesuatu?

Pakar Memori Amerika Syarikat

Lihat dan cuba fahami kata-kata Mr. Kevin Trudeau, “I didn’t have learning disability, I just had an untrained memory” (Saya bukan lemah dalam belajar/menghafal, saya cuma mempunyai daya ingatan yang tidak dilatih).


Kevin adalah pengasas bagi American Memory Insitute di Amerika Syarikat. Institut ini mengajar pelajarnya cara-cara menggunakan sepenuh kebolehan daya ingatan manusia bukan sahaja untuk keperluan belajar atau pekerjaan, malah untuk kegunaan harian. Namun Kevin pada zaman kanak-kanaknya adalah dianggap sebagai seorang pelajar yang sangat lemah, hinggakan beliau hampir-hampir dilabelkan sebagai pelajar yang mempunyai IQ di bawah paras normal.

Beliau bekerja keras untuk mencari jalan bagaimana beliau boleh menggunakan potensi sebenar beliau. Akhirnya, beliau menemui rahsia menggunakan sepenuh potensi daya ingatan dan kini, beliau terkenal di serata United States sebagai ‘Pakar’ dalam bidang daya ingatan.


Satu contoh betapa hebatnya Kevin ini, beliau pernah menghadiri satu majlis yang dihadiri oleh lebih dari 50 orang. Apabila Kevin berkenalan dengan orang baru, Kevin akan bertanyakan nama penuh orang-orang tersebut. Di akhir majlis tersebut, Kevin mampu bersalam dengan semua orang yang berkenalan dengannya tadi dan menyebut nama penuh masing-masing.


Untuk menghafal, anda perlu tahu satu perkara asas. Apakah bahasa memori kita? Bahasa Melayu? Bahasa Inggeris? Bahasa Cina? Atau bahasa India? Untuk mengetahuinya, jawab soalan ini.
Jika saya sebut perkataan kucing, apakah yang terbayang difikiran anda? Adakah perkataan K.U.C.I.N.G. ? Atau gambar seekor kucing?


Tentu gambar seekor kucing bukan?
Maksudnya, bahasa otak kita adalah ‘gambar’. Disebabkan itu, kita lebih mudah mengingat gambar dari perkara lain seperti tulisan. Jadi, jika anda merasa sukar untuk menghafal, jangan risau. Bukan anda memiliki daya pemikiran yang lemah, tetapi, anda mungkin selama ini cuba menghafal tulisan, bukan gambar.

Saturday, June 6, 2009